Peluang kerja graduan baru kembali cerah tahun depan
December 28, 2020 2020-12-28 15:38Peluang kerja graduan baru kembali cerah tahun depan
Peluang kerja graduan baru kembali cerah tahun depan
Pasaran kerja untuk graduan diramal meningkat pada tahun depan selepas tahun ini menyaksikan kadar pengangguran dan kewangan tidak menentu disebabkan Covid-19 menjejaskan ekonomi seluruh dunia, kata satu kaji selidik firma perekrutan Talentbank.
Dalam satu kaji selidik bertajuk “Majikan’ Pilihan Utama Universiti” yang dijalankan pada Oktober lalu melakukan penilaian keadaan terkini pasaran kerja untuk graduan dalam norma baru, menunjukkan 73.41% responden menyatakan kesudian mengupah pelajar lepasan universiti sama ada universiti awam atau swasta pada tahun-tahun akan datang.
Sementara itu, sebanyak 21.97% responden mengatakan tidak pasti dan selebihnya 4.62% tidak berminat untuk mengambil pekerja.
Kaji selidik itu melibatkan responden terdiri daripada mereka berjawatan kanan dalam syarikat bersaiz sederhana hingga besar (80.35%), dengan 33.53% melibatkan syarikat tersenarai awam.
Prospek pekerjaan dilihat cerah buat graduan baru yang memiliki latar belakang dalam bidang perakaunan, pengurusan perniagaan, pemasaran, pengkomputeran dan teknologi maklumat, pengurusan sumber manusia, kejuruteraan mekanikal dan elektronik serta kejuruteraan elektrik dan lain-lain.
Gaji bulanan yang ditawarkan kepada graduan baru daripada semua bidang secara purata antara RM2,501 hingga RM3,000, manakala elaun untuk latihan industri sehingga RM1,000 sebulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Talentbank Ben Ho mengatakan ia adalah berita baik di sebalik ketidakstabilan dan ketidaktentuan yang disebabkan pandemik serta ia turut membawa maksud pihak universiti berjaya menghasilkan lulusan siswazah “yang memiliki set kemahiran yang betul diperlukan oleh pihak industri”.
“Kami tanya kepada para majikan mengenai adakah mereka memberi penekanan terhadap sikap atau keputusan akademik ketika ingin mengupah graduan baru dan jawapan yang diperoleh sudah dijangka.
“Sebahagian besar iaitu 91.91% responden memilih sikap yang baik berbanding keputusan akademik manakala baki 8.09% memilih sebaliknya. Hasil keputusan ini menunjukkan peningkatan permintaan untuk bakat serba boleh, yang mampu mempelajari kemahiran dan tanggungjawab baru sekiranya diberikan kepada mereka,” tambahnya.
Awal bulan ini, Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim mengatakan hampir 100,000 pekerja hilang pekerjaan sejak Januari termasuk mereka berkemahiran tinggi terdiri daripada pengurus, profesional, juruteknik dan profesional bersekutu.
Tetapi kaji selidik Talentbank menunjukkan masa depan yang optimistik untuk pasaran kerja graduan baru sehingga tahun 2022, dengan 76.3% mengatakan mereka akan kekal mengambil pekerja hingga ke tempoh tersebut.
Kaji selidik itu juga mendedahkan lima sumber digunakan oleh majikan untuk mencari dan mengupah graduan baru adalah daripada laman sesawang pekerjaan, halaman kerjaya syarikat, pameran kerjaya di universiti, saluran media sosial dan pameran kerjaya di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid.
Senarai 10 teratas metrik perekrutan yang digunakan ketika mengupah graduan baru adalah kesediaan kerja, aktiviti luar kurikulum, reputasi universiti, proses perekrutan, purata nilai gred kumulatif, julat gaji, tempoh masa diambil bekerja, kos permohonan kursus, pengekalan pekerja dan pendedahan pelajar pada peringkat antarabangsa.
Sumber: Malaysia Now